background img

Tumpang Tuah

Shahrul, Mohamad Irwan bawa pulang wang tunai RM20,000.

Seekor kerapu seberat 16.74 kilogram (kg) memberi rezeki buat seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Shahrul Che May apabila dinobatkan juara pertandingan memancing Pusingan Akhir Grand Slam (GS) Gp Joran 2011, Dungun, Ahad lalu.

Kemenangan itu membolehkan beliau membawa pulang wang tunai RM20,000 yang sekali gus mengalahkan 600 peserta Kategori Laut yang mengambil bahagian. Juruteknik dari Shah Alam itu mengakui kemenangannya dalam pertandingan boleh diibaratkan rezeki
berganda kerana beliau dijangka menyambut kelahiran anak keduanya bulan depan.

Katanya, wang kemenangan itu bakal digunakan untuk bayinya dan selebihnya untuk simpanan keluarganya pada masa depan. “Saya memang berhasrat seperti peserta lain untuk memenangi hadiah yang bakal merubah nasib keluarga masing-masing. Hari ini nampaknya impian saya tercapai dan hasil kemenangan ini akan digunakan sebaiknya untuk keluarga dan bayi yang bakal lahir pada bulan depan,” katanya.

Mengulas pengalaman beliau menaikkan kerapu itu, Shahrul, 30, berkata, beliau seperti tiga tahun sebelumnya mempertaruhkan umpan sotong kurita hidup yang dibelinya dekat Pulau Indah, Selangor yang cukup mujarab menjerat spesies karang seperti kerapu dan jenahak. Katanya, taruhan beliau nampaknya berjaya apabila kerapu berwarna kelabu berskala 16.47kg akhirnya terkulai di atas bot kira-kira jam 4 petang pada hari pertama pertandingan.

Sementara itu, Juara Kategori Pantai milik Mohammad Irwan Abd Samad, 33, dari Pahang dengan tangkapan pari seberat 8.33kg dan sekali gus membawa pulang wang tunai RM20,000 dan hadiah iringan penaja. Pekerja kilang besi itu tidak menunggu masa lama apabila umpan udang hidup yang dibawa dari Pantai Pelindung, Beserah, Kuantan Pahang terus disambar pari di Pantai Teluk Lipat, Dungun kira-kira 15 minit selepas hon udara dibunyikan.

“Tidak sempat saya melabuhkan punggung di atas pasir, hujung joran 16 kaki yang dibeli tahun lalu melengkung separa ‘U’ yang menandakan mangsa mengena pada mata kail. Apa lagi , saya bingkas bangun dan menyambar joran terus mengarau tali dan selang 10 minit, pari sebesar dulang terdampar di atas pasir. “Selepas timbang di meja hakim dan petugas memberitahu pari yang dipancing saya mungkin tersenarai untuk menerima hadiah dan berpeluang naik ke pentas untuk pertama kali dalam hidup,” katanya yang bakal menggunakan wang kemenangan ini untuk membaiki rumahnya.

Dalam pada itu, tempat kedua Kategori Laut milik Mohd Zainuddin Mohd Ramli dari Selangor yang berjaya menaikkan kerapu 16.3kg dan membawa pulang wang tunai RM10,000 dan hadiah iringan dari penaja. Tempat ketiga dimenangi Ahmad Nizam Othman dari Terengganu dengan tangkapan tenggiri 13.26kg dengan hadiah wang tunai RM4,000.

Kategori Pantai tempat kedua dan ketiga dimenangi Mazli Abdullah dan Hadiezri Abdul Khalib yang masing-masing dari Terengganu. Hasil tangkapan ebek 1.565kg dan 1.405, mereka berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000 dan RM4,000. Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian; Datuk Mior Kamarul Shahid; Pegawai Daerah Dungun, Datuk Mustopa Abd Rahman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Harun Mohamad; Pengarah Urusan UFL Coleman, Datuk Radha Krisnan dan Pengurus PERODUA cawangan Kuala Terengganu, Zulwari Abdul Wahab.

Oleh Nasir Abd Wahab dan Zulhilmi Hat
bhnews@bharian.com.my
2011/10/15

0 comments:

Comment

Recent Comments Widget by Jom Bina Belog

Posts & Comments

get this

Followers