Gelama Gigi, Bongkok & Senangin

November 18, 2012 by
Assalamu'alaikum, semalam dikatakan cuaca yang agak baik, air laut mulai pasang dan berombak sederhana kecil jadi kami (Hazamin & Amer) turun memancing di lokasi belakang sekolah kebangsaan cina atau pantai Kuala Dungun dalam mencari si ikan gelama sebanyak mungkin sebelum tibanya musim tengkujuh. Alhamdulillah, ada lah rezeki juga gelama gigi, gelama bongkok, gelama epuk, ikan bulus dan ikan senangin adalah spesis ikan yang berjaya kami perolehi semalam berumpankan hirisan udang. Rajah menunjukkan ikan senangin, gelama bongkok dan gelama gigi terbesar yang berjaya dipancing semalam.

Info senangin, dari segi fizikal, senangin mudah dikenali kerana warna dan bentuk badannya. Ia mempunyai empat sirip di badannya dengan ekor yang bercabang dan beberapa janggut di bawah kepalanya. Kadangkala kita dapat menemui beberapa spesis senangin yang berlainan warna, tetapi selalunya spesis yang kerap ditemui adalah berwarna putih-keperakan dengan sisik-sisik yang halus di sekeliling tubuhnya. Warna badannya yang putih berkilat semasa ia hidup akan cepat bertukar menjadi gelap apabila ia mati.

Senangin hidup berkumpulan dan mendiami kawasan-kawasan perairan yang tenang dan cetek seperti tukun-tukun atau kawasan berbatu berhampiran pantai, teluk atau kuala-kuala sungai yang berpasir dan berair payau. Dari segi tumbesarannya, biasanya ia boleh mencecah berat antara satu hingga empat kilogram. Tetapi kadangkala senangin mampu membesar lebih jauh sehingga mencecah 18 kilogram bergantung kepada keadaan persekitarannya. Senangin boleh dipancing tanpa mengira waktu atau musim dan spesis ini menjadi buruan utama para nelayan kerana permintaan dan harganya yang sangat tinggi.

0 comments:

Blog List

Comment

Recent Comments Widget by Jom Bina Belog