background img

Bukit Belah Dungun

Assalamu'alaikum kepada pembaca-pembaca Blog Siakappaka, kali ini penulis ingin menceritakan tentang lokasi memancing siakap merah di Dungun, lokasi ini diberi nama Bukit Belah yang popular disebut-sebut oleh kaki-kaki pancing di Dungun. Baiklah Bukit Belah terletak di muara sungai Kuala Dungun, berhadapan Bandar Kuala Dungun dan tepi Laut China Selatan dimana tempat pertembungan air laut dengan air sungai.
Sememangnya tersohor dengan kedamaian, dihiasi pasir putih, rimbunan pokok-pokok dan permukaan sungai yang berbatu-batu yang menarik minat si ikan siakap merah, tanda, siakap putih, kaci, kurai, pari dan kerapu, lebih masyhurnya lagi lokasi ini terletak di Kampung Balik Bukit Seberang Pintasan Dungun Terengganu yang berlatarbelakangkan perkampungan nelayan.
Hebat sungguh dengan nama Kampung Seberang Pintasan ini, selain Bukit Belah, Batu Payung, Tanjung Jara, Pantai Teluk Bidara dan lain-lain lagi menjadi tempat utama pelancong-pelancong dan pemancing-pemancing berkunjung kesini. Sejak terbinanya jambatan Kuala Dungun-Seberang Pintasan empat tahun lalu, kampung Seberang Pintasan yang dahulunya seakan terpisah dari dunia luar mengalami perubahan drastik, termasuk pesisir pantai Teluk Bidara, berubah menjadi pantai dikunjungi ramai terutama pada setiap petang lebih-lebih lagi pada hujung minggu jumaat dan sabtu.
Apabila pengunjung melalui jambatan besar Kuala Dungun ini sudah pastinya akan dapat melihat jelas di mana letaknya Lokasi Bukit Belah, Batu Payung di Seberang Pintasan ini selain itu terlihat jelas juga pengkalan-pengkalan untuk ke Pulau Tenggol, tempat-tempat pembuatan bot nelayan dan bot komersial serta hasil laut dan makanannya yang mana menambahkan lagi kecantikkan permandangan di muara Sungai Dungun ini amnya dan Seberang Pintasan khasnya.
Tiada maklumat terperinci mengenai sejarah Kampung Seberang Pintasan. Apa yang ada hanyalah cerita lisan dari penduduk kampung yang sudah sekian lama menetap di sini. Kampung Seberang Pintasan dipercayai diteroka oleh dua keluarga berketurunan Cina yang berasal dari Bandar Dungun. Menurut orang-orang tua di sini, keluarga Cina tersebut datang ke Kampung Seberang Pintasan bagi mencari kawasan untuk menanam pokok kelapa dan getah.
Manakala penempatan awal di kawasan ini pula bermula di Kampung Balik Bukit yang diasaskan Lebai Isa atau nama sebenarnya Hakim Isa Bin Muhamad. Beliau merupakan individu yang bertanggungjawab dalam mengembangkan syiar Islam di Dungun. Beliau juga telah membina rumah serta wakaf untuk mengajar penduduk kampung mengenai selok-belok ajaran Islam.
Syiar Islam di Kampung Seberang Pintasan mula berkembang apabila Lebai Isa berpindah ke kampung tersebut ketika usianya 80 tahun. Semasa berada di sana, beliau telah mendirikan sebuah masjid dan mengajar penduduk mendalami ilmu agama Islam. Di sini bermulalah era perkembangan Islam di Kampung Seberang Pintasan hingga ke kampung di sekitarnya. Pada tahun 1883, Lebai Isa telah meninggal dunia dan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Seberang Pintasan yang kini dikenali sebagai Tanah Perkuburan Islam Lebai Isa. Allahyarham merupakan individu yang telah banyak berkorban dalam memastikan syiar Islam terus bersinar di kampung ini sehingga kini.

3 comments:

Kak Yah said...

Waa! cantik tempat memancing ni

Anonymous said...

Panjg nengung kawan kite tu, dokleh ikan ker?... Jefry KL

Syed said...

sronoknye memancing

Comment

Recent Comments Widget by Jom Bina Belog

Posts & Comments

get this

Followers