Ramadhan Menjelma Lagi 1433H
Dalam seminggu lagi kita akan menyambut bulan Ramadhan, bulan mulia, bulan penghulu segala bulan, bulan yang dilimpahi dengan kebahagiaan dan kasih sayang. Ramadhan yang pada Nya terdapat satu malam yang sungguh agung yang lebih baik dari seribu bulan, ramadhan juga merupakan bulan untuk seseorang mensuci hati daripada kekotoran maksiat serta kealpaan, ianya merupakan bulan berkat, bulan yang awalnya rahmat pertengahanya pengampunan dan akhirnya selamat dari api neraka.
Ramadhan bulan ibadah, bulan kebajikan, bulan al-quran, bukan bulan untuk makan dan minum secara bermewah, bukan bulan untuk bersantai, bukan untuk tidur, bukan untuk
berperap tanpa melakukan sebarang kerja ibadah, bahkan ianya merupakan bulan zuhud yakni menyekat nafsu daripada mendapat kemewahan dan keseronokan berlebihan.
Tanamkanlah azam dalam hati, kita ingin mengikuti jejak langkah nabi Muhammad yang pernah melalui ranjau berduri selama dua bulan dapur rumahnya tidak berasap kerana ketiadaan makanan. Baginda pada hari kebisaanya hanya makan sembilan suapan pada pagi dan Sembilan suapan pada petangya, itu sahaja, tidak lebih dari itu, ingatlah firman Allah yang bermaksud: “tiadalah kehidupan dunia ini kecuali hanyalah keseronokan yang tipu daya”.
Janganlah kita sibukan diri kita dengan memikirkan ‘makanan apa yang
hendak dimakan waktu berbuka..’, bahkan fikirkanlah ‘masjid manakah atau
surau manakah bakal kita hadir untuk mendengar syarahan agama dan solat
tarawih, marilah kita sama-sama saling nasihat menasihati sesame kita
agar meninggalkan sikap bermewah-mewah kerana makan secara bermewah
dengan hidangan lauk yang melebihi dua atau tiga masakan setiap hari
adalah perbuatan yang tiada kebaikannya malah bertentangan dengan
dengan cara hidup para nabi, sebagaimana dinyatakan dalam satu hadis
yang bermaksud “ beringatlah dirimu daripada bermewah-mewah,
sesungguhnya para nabi tiadalah dari kalangan mereka yang
bermewah-mewah.
Para wali Allah tidak menghabiskan waktunya dalam memperbagaikan jenis
makanan yang lazat-lazat, bukan ini caranya untuk menjadi kekasih Allah,
para wali Allah bersifat zuhud pada segala hal, mereka membiasa kan
diri meninggalkan kemewahan. Rasulullah pada kebanyakan harinya hanya
mengambil kurma dan air sebagai makanan pagi dan petangnya,
bayangkanlah.. “hanya kurma dan air sahaja” dan kadang-kadang sahaja
baginda makan roti keras bukan sebagaiman roti di zaman muta’khir ini
yang sememangnya lembut dan enak.
Saudaraku... hari-hari di dunia amatlah pendek berbanding hari di
akhirat, perbanyakanlah amalan akhirat kerana amalan itu walau sebanyak
mana sekali pun dikerjakan ianya tetap akan menguntungkan dirinya di
akhirat kelak. Sambutlah bulan ramadhan dengan bertaubat dan
memperbanyakkan ibadah. Ingatlah sabda Nabi Sallallahu alaihi wasallam
yang bermaksud: “ siapa yang berpuasa ramadhan dengan penuh keyakinan
dan usaha gigih maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah
lalu.