Kurau & Gelama Bongkok
Inilah Kurau 1kg & Gelama Bongkok yang berjaya dipancing oleh Pak Ripin semalam dalam masa air surut lebih kurang jam 11.00pm dengan berumpankan hirisan udang, di lokasi Pantai Teluk Lipat atau Pantai Kuala Dungun, Dungun. Seperti mana yang kita ketahui ikan gelama ini ada berbagai jenis antaranya gelama pisang, gelama bongkok, gelama gigi, gelama eput', gelama hitam dan ibu gelama, tapi mungkin berlainan nama-nama ikan gelama ini di luar sana. Selain isi yang sangat sedap Gelama Bongkok lah spesis yang dicari-cari dan dinanti-nanti oleh kaki-kaki pancing begitu juga dengan spesis Gelama Gigi kerana spesis inilah yang ganas ketika menyambar atau melarikan umpan dan pemancing juga merasa seronok ketika mana hendak menaikkan ikan ini.Kami di Terengganu lebih gemar memanggilnya dengan nama ikan kurau kerana ia bersaiz besar manakala yang bersaiz kecil dipanggil pula dengan gelaran ikan senangin namun ia masih terdiri daripada satu kumpulan spesis yang sama. Dari segi fizikal ia mempunyai empat sirip di badannya dengan ekor yang bercabang dan beberapa janggut di bawah kepalanya. Kadangkala kita dapat menemui beberapa spesis kurau yang berlainan warna, tetapi selalunya spesis yang kerap ditemui adalah berwarna putih keperakan dengan sisik-sisik yang halus di sekeliling badannya. Warna badannya yang putih berkilat semasa ia hidup akan cepat bertukar menjadi gelap apabila ia mati.
Spesis ini hidup berkumpulan dan mendiami kawasan-kawasan perairan yang tenang dan cetek. Misalnya ia menghuni tukun-tukun atau kawasan berbatu-batu berhampiran pantai, teluk atau kuala-kuala sungai yang berpasir dan berair payau. Dari segi tumbesarannya, ia boleh mencecah berat antara satu hingga empat kilogram. Kadangkala kurau juga mampu membesar lebih jauh sehingga mencecah 18 kilogram bergantung kepada keadaan persekitarannya. Kurau boleh dipancing tanpa mengira waktu atau musim. Ikan ini menjadi buruan utama para nelayan kerana permintaan dan harganya yang sangat tinggi.