KORBAN : IBADAH PENUH IKHLAS DAN KESYUKURAN
Firman Allah Ta'ala :
“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah al-Maidah : 27)
Bulan Zulhijjah, bulan haji dan korban. Bulan yang sangat sinonim dengan dua perkara ibadah yang diseru kepada umat Islam untuk melakukannya. Orang yang menunaikan haji pasti sudah lama bersedia jiwa dan raga untuk menjadi tetamu Allah Ta'ala di Bait al-Haram. Persediaan yang rapi untuk mendatangi rumah Penguasa yang berkuasa ke atas segala perkara di alam ini.
Bulan Zulhijjah juga, kalimah korban tidak akan lekang di bibir dan minda umat Islam. Ramai di kalangan kita yang sudah lama bersedia untuk meraikan kedatangan hari raya yang sangat beerti ini. Ada juga yang sudah lama menempah bahagian korban untuk musim korban akan datang. Tidak kurang juga yang masih berusaha mancari wakil yang boleh menguruskan penyertaan ibadah korban.
Suatu ketika dulu, ibadah korban hanya diadakan di masjid-masjid atau surau-surau. Tapi kini perubahan zaman seiring percambahan minda telah membawa umat Islam untuk melaksanakan ibadah korban di pelbagai tempat. Kedapatan institusi yang membuka penyertaan ibadah korban di tempat kerja. Situasi ini memupuk semangat kerjasama dan ukhuwwah di kalangan pekerja-pekerja. Malah terdapat juga yang menjalankan ibadah korban di kampung halaman dengan penyertaan dalam kalangan ahli keluarga sahaja sambil mengadakan perjumpaan besar keluarga. Meriah sungguh sambutan korban yang diraikan.
Daripada situasi ini, terdapat satu persoalan yang harus bermain di minda kita. Apakah sebenarnya perkara yang perlu dihayati oleh umat Islam daripada hari raya Aidul Adha ini? Apakah cukup sekadar kemeriahan manyambut pelaksanaan ibadah korban yang dilakukan? Atau cukup sekadar menunaikan solat sunat Aidul Adha di masjid atau surau? Apakah perbezaannya sambutan Aidul Adha berbanding Aidul Fitri? Hanya berbeza pada lembu dan kambingnya sahaja ke? Sebenarnya perlu ada kefahaman yang jitu dan tepat dalam melakukan semua perkara ini bagi memastikan ia diterima oleh Allah Ta'ala sebagai ibadah yang mengundang pahala.
Dalam merungkaikan perkara ini, ayat Allah Ta'ala di dalam Surah al-Maidah ayat 27 di atas menceritakan serba sedikit bagaimana pengorbanan yang membawa kepada penerimaan Allah Ta'ala. Apabila disebut mengenai penerimaan Allah Ta'ala, maka secara mudahnya akan ada korban yang tidak diterima oleh Allah Ta'ala seperti mana yang telah berlaku kepada Qabil. Bagaimanakah caranya untuk ibadah korban kita diterima oleh Allah Ta'ala? Bagaimanakah pula keadaan korban yang tidak diterima oleh Allah Ta'ala?
Intipati asas dalam melaksanakan sesuatu ibadah ialah wujudnya keikhlasan dalam diri seseorang terhadap ibadah yang dilakukan. Keikhlasan inilah punca bagi segala kesan yang akan timbul daripada sesuatu ibadah.
Rasulullah Sollallahhu'alaihiwasallam bersabda :
“Berbahagialah sekali bagi orang-orang yang memiliki sifat keikhlasan. Mereka itu adalah merupakan lampu-lampu untuk memberikan petunjuk, menjadi terang atau nyata dan tidak mengenai mereka segala bentuk fitnah, terhapus bagaikan kegelapan.”
(Diriwayat oleh Baihaqi)
Rasulullah Sollallahhu'alaihiwasallam bersabda ketika menyampaikan pesanan kepada Muaz bin Jabal :
“Berlaku ikhlaslah dalam melaksanakan agamamu, maka cukuplah untukmu amalan yang sedikit.”
(Diriwayatkan oleh al-Hakim)
Jelas sekali sesuatu amalan itu walaupun sedikit tetap akan diterima oleh Allah Ta'ala apabila ia dikepilkan bersekali dengan keikhlasan. Sebaliknya amalan yang hebat dan banyak, tapi sunyi daripada keikhlasan kepada Allah Ta'ala akan ditolak oleh Allah Ta'ala. Begitu juga dengan ibadah korban yang dilakukan, pastinya keikhlasan yang terdapat di dalam hati Habil dengan menyediakan hasil ternakan yang terbaik dan paling sihat membawa kepada penerimaan oleh Allah Ta'ala. Sebaliknya sikap Qabil yang hanya menyediakan hasil tanaman yang layu dan tidak baik dengan perasaan terpaksa dan sebagainya mengakibatkan korban yang dilakukan tidak diterima oleh Allah Ta'ala.
Di samping aspek keikhlasan yang dibentuk di dalam diri, aspek bersyukur juga merupakan content yang penting dalam melakukan ibadah korban bahkan juga pada ibadah-ibadah yang lain. Apabila kita diberi ruang oleh Allah Ta'ala untuk bekerja dan menikmati pendapatan bulanan, rasa bersyukur dengan segala pemberian dariNya akan menginsafkan kita untuk mengeluarkan sedikit daripada sekalian banyaknya harta yang dianugerahkan ke arah tujuan ibadah seperti sedekah, zakat dan korban. Dengan penuh kesyukuran itulah kita akan membentuk keyakinan yang lebih kuat dan lebih mantap terhadap rezeki yang dikurniakan oleh Allah Ta'ala kepada kita.
“Dari Aisyah r.anha bahawasanya Rasulullah sSollallahhu'alaihiwasallam berdiri untuk bersolat di waktu malam sehingga pecah-pecah kedua-dua tumit kakinya. Saya lalu berkata : “Mengapakah anda mengerjakan sedemikian ini, padahal anda itu sudah diampuni oleh Allah Ta'ala daripada dosa anda yang terdahulu dan yang terkemudian?” Baginda Rasulullah Sollallahhu'alaihiwasallam menjawab : “Kalau begitu tidakkah patut aku menjadi seorang hamba yang bersyukur.”
(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)
Rasulullah Sollallahhu'alaihiwasallam telah menunjukkan contoh terbaik kepada kita. Sekalipun baginda maksum dan tidak berdosa, baginda tetap teguh dan mantap dalam melaksanakan ibadah kepada Allah Ta'ala. Apatah lagi kita semua? Rasulullah Sollallahhu'alaihiwasallam yang merupakan kekasih Allah Ta'ala telah melakukan ibadah sampai tahap begitu, kita semua seharusnya berusaha lebih dari itu bagi menjamin untuk mendapat keredhaan dan keberkatan hidup daripada Allah Ta'ala.
Amat jelas kepada kita bahawa pemantapan konsep ikhlas dan bersyukur di dalam diri seorang muslim amat penting dalam menghadapi bulan Zulhijjah. Ibadah haji dan korban yang dilaksanakan perlulah diasaskan daripada kedua-dua pasak yang kukuh dan jitu ini. Jadikanlah, musim haji dan korban kali ini bakal membentuk jiwa yang ikhlas dan penuh kesyukuran kepada zat yang Maha Agung, Allah Subhanahu wa Ta'ala.
AHMAD FIRDAUS BIN ISMAIL AL-HAFIZ
PEGAWAI PENASIHAT AGAMA
UITM TERENGGANU
Tukar absorber Myvi
-
Time aku ganti tayar baru2 nih tuh, memang pomen tuh ada cakap yg absober
belakang myB aku nih dah rosak.. Time kat kedai tuh aku tanya jugak berapa
kos na...
8 years ago
0 comments:
Post a Comment