Kerapu Bukit Belah
Kali ini penulis ingin menceritakan pula tentang lokasi memancing kerapu di Dungun, lokasi ini diberi nama Bukit Belah yang sangat popular dan disebut-sebut oleh kaki-kaki pancing di Dungun. Baiklah Bukit Belah terletak bersebelahan dengan Batu Payung yang telah diceritakan pada post yang lepas, jika dilihat permandangan melalui gambar ini sememangnya tersohor dengan kedamaian dan ketenangan serta dihiasi rimbunan pokok-pokok dan permukaan sungai yang berbatu-batu sekaligus menarik minat si ikan kerapu bermain.
Hebat sungguh dengan nama Bukit Belah ini, kerana lokasi ini telah menjadi pusat kaki-kaki pancing untuk memancing siakap merah, siakap putih, kerapu, bulus, gelama, pari, kuku, repuh, jenahak, senangin, kurau, kaci dan sebagainya. Lokasi ini jelas kelihatan apabila kita berada di sekitar Bandar dan Pasar Besar Kuala Dungun, serta juga ianya menjadi sebuah tempat perlabuhan dan pengkalan-pengkalan bot nelayan terutamanya.
Terbinanya jambatan besar Kuala Dungun ini menambahkan lagi kemudahan bagi kaki-kaki pancing dan pengunjung untuk datang ke mari sekaligus mudah untuk ke tempat lokasi-lokasi memancing yang lain seperti bawah jambatan, Pimpin, Batu Payung dan Batu Tanjung yang sememangnya kawasan-kawasan ini dihujani dengan spesis-spesis ikan gred terbaik.
Info: Kerapu atau nama saintifiknya Epinephelus coioides merupakan sejenis ikan air masin. Ia merupakan ikan dalam keluarga Serranidae. Antara spesis ikan kerapu yang mendapat pasaran ialah Kerapu Tikus, Kerapu Harimau dan Kerapu Pisang. Harga pasaran ikan kerapu terkini ialah RM60 - RM70/Kg. Dulu ikan kerapu merupakan antara jenis ikan yang kurang digemari ramai kerana bentuk fizikalnya yang kurang menarik.
Kerapu antara ikan yang agak mahal dan amat digemari pada masa sekarang ini kerana isinya yang enak serta boleh dipelbagaikan cara masakannya. Untuk menghasilkan masakan enak, ikan ini perlu terlebih dahulu disapu dengan minyak bijan, sedikit telur, serbuk cili dan tepung ubi di bahagian perut serta seluruh badannya sebelum dimasak atau digoreng.