Blogs Fishing

Tuesday, September 9, 2014

Kerisi

Nemipterus balinensis spesies yang bersaiz kecil ini adalah antara daripada 14 spesies yang terdapat di sekitar perairan negara ini terutama di Pantai Barat dan Timur Semenanjung, ianya aktif pada waktu siang dan umpan yang paling sesuai ialah hirisan ikan, sotong dan udang.

Spesies ini ditemui dengan mudah sekitar April hingga September terutama di sekitar perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur. Kerisi boleh dipancing menggunakan teknik apollo dan Bottom fishing dengan mata kail yang bersaiz kecil. Lokasi: Perairan laut Mengabang Telipot, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.

Kerapu Pantai Timur

Spesies yang cukup sinonim di kalangan pemancing. Sebut saja ikan kerapu, kita terbayang seekor ikan laut yang badannya bersisik halus memiliki corak pelbagai warna, bermulut luas dan pelbagai bentuk. Ikan ini antara spesies yang paling bernilai, diminati serta mendapat permintaan tinggi di kalangan penggemar makanan laut. Ikan unik ini mampu bertahan lama tanpa air, mendiami ekologi laut berstruktur sama ada karang, reba atau tunggul kayu, tukun, bangkai kapal, tiang rumah api atau dermaga, jeti, gua batu karang dan lubang di dasar laut. Ia boleh dikatakan spesies yang tinggal di sungai, muara, pesisiran pantai dan laut dalam atau berlindung di hutan batu karang sebagai habitat utama. Ia pemangsa dasar yang agak pemalas.
Ia turut menyambar gewang dan jigs yang melintas berhampiran. Kerapu adalah ikan demersial iaitu pemangsa dasar. Ia menyambar hampir semua anak ikan, sotong, ketam dan udang, sama ada hidup atau mati. Oleh kerana kerapu bermulut besar, umpan seekor dan besar amat sesuai digunakan. Serranidae adalah nama famili kerapu. Ia mengandungi tujuh sub-famili iaitu Aethaloperca, Anyperodon, Cephalophalis, Cromileptes, Epinephelus, Plectromopus dan Variola.

Dalam tujuh sub-famili itu pula terdapat 42 jenis yang ditemui di habitat tertentu, kebanyakannya boleh ditemui di perairan negara terutama Laut China Selatan. Nama kerapu yang diguna pakai oleh nelayan mahupun pemancing yang biasa saya dengar ialah bebeh, lilin, kayu, keling, bara, ekor bulan, sunuk @ chonor, minyak, hitam, bunga, ekor putih, belida @ tikus, merah, botol, karang, batu, batik, panau, pipih, pisang, kertang dan tidak termasuk nama tempatan bagi masyarakat di Sabah dan Sarawak... epulkakipancing
Lokasi Pancingan: Perairan Laut Mengabang Telipot, Kuala Terengganu.