Blogs Fishing

Saturday, July 21, 2012

Kuku Batu Payung

Assalamu'alaikum kepada pembaca-pembaca Blog Siakappaka, kali ini penulis ingin menceritakan tentang lokasi memancing ikan gred A di Dungun, lokasi ini diberi nama Batu Payung yang popular dan selalu disebut-sebut oleh kaki-kaki pancing di dalam mahupun di luar Dungun. Batu Payung terletak di tanjung atau muara sungai Kuala Dungun dan berhadapan Bandar Kuala Dungun dimana tempat permulaan pertembungan air laut dengan air sungai.

Sememangnya tersohor dengan kedamaian, dihiasi bunyi dentuman ombak memukul batu-batuan, rimbunan pokok-pokok serta permukaan laut dan sungai yang berbatu-batu sekaligus menarik minat si ikan siakap merah, tetanda, siakap putih, kaci, kurai, senangin, repuh, pari, kerapu, jenahak, kuku, gerong, ebek dan sebagainya, lebih masyhurnya lagi lokasi ini terletak di Kampung Balik Bukit Seberang Pintasan Dungun Terengganu yang berlatarbelakangkan perkampungan nelayan.

Seperti yang kita(orang Dungun) tahu nama Kampung Seberang Pintasan ini memang hebat, selain Batu Payung, Bukit Belah, Tanjung Jara, Pantai Teluk Bidara dan lain-lain lagi, ianya menjadikan tempat-tempat ini sebagai tempat utama pelancong-pelancong dan pemancing-pemancing berkunjung ke sini. Sejak terbinanya jambatan Kuala Dungun-Seberang Pintasan lima tahun lalu, kampung Seberang Pintasan yang dahulunya seakan terpisah dari dunia luar mengalami perubahan drastik, termasuk pesisir pantai Teluk Bidara, berubah menjadi pantai dikunjungi ramai terutama pada setiap petang lebih-lebih lagi pada hujung minggu jumaat dan sabtu.

Apabila pengunjung melalui jambatan besar Kuala Dungun ini atau bersantai bersama keluarga di muara Kuala Dungun, sudah pastinya akan dapat melihat jelas di mana letaknya Lokasi Batu Payung di Seberang Pintasan ini selain itu terlihat jelas juga pengkalan-pengkalan untuk ke Pulau Tenggol, tempat-tempat pembuatan bot nelayan dan bot komersial sekaligus menjadikan pemandangan di sepanjang Sungai Dungun ini kelihatan cantik dan amat menarik.

Sempat juga penulis rakamkan ikan Kuku Putih(1kg) yang berjaya dipancing semalam di lokasi Batu Payung Dungun ini yang penuh dengan batu-batuan di mana tempat kegemaran spesis ini bermain.